3
Khutbah Yahya Pengimad
Pada tahun yang kelima belas pemerintahan Kaisar Tiberius, Pontius Pilatus menjadi gabenor negeri Yudea, Herodes menjadi raja negeri Galilea dan saudaranya Filipus menjadi raja di wilayah Iturea dan Trakhonitis, Lisanias menjadi raja Abilene dan Hanas serta Kayafas menjadi imam agung. Pada masa ini, firman Allah disampaikan kepada Yahya anak Zakaria di gurun. Lalu Yahya pergi ke seluruh daerah Sungai Yordan mengkhabarkan suatu pengimadan sebagai tanda pertaubatan yang membawa pengampunan dosa, seperti yang tersurat dalam kitab Nabi Yasyaya:
 
‘Suara seorang yang berseru di gurun,
“Sediakanlah jalan untuk Tuhan,
luruskanlah jalan untuk-Nya.
Setiap lembah akan ditambak
dan setiap gunung serta bukit akan diratakan.
Tempat bengkang-bengkok akan diluruskan
dan jalan lekak-lekuk akan dilicinkan.
Semua manusia akan melihat penyelamatan
yang dikurniakan oleh Allah.” ’
 
Yahya berkata kepada orang ramai yang berkerumun untuk diimadkannya, ‘Hai, kamu seperti ular berbisa, siapakah yang telah memberimu amaran supaya melarikan diri daripada kemurkaan Allah yang akan datang? Kamu hendaklah membuktikan pertaubatanmu dengan perbuatan yang baik, dan jangan mula berkata sesama sendiri, ‘Ibrahim bapa kita’, kerana aku berkata kepadamu bahawa Allah berkuasa menjadikan anak-anak bagi Ibrahim daripada batu-batu ini. Kapak telah sedia terletak pada akar pokok kayu. Jadi, setiap pokok kayu yang tidak mengeluarkan buah yang baik akan ditebang dan dibuangkan ke dalam api.’
10 Orang ramai itu bertanya kepada Yahya, ‘Jadi, apa yang harus kami buat?’
11 Dia menjawab, ‘Sesiapa yang mempunyai dua helai baju hendaklah memberi kepada orang yang tidak mempunyai baju, dan sesiapa yang mempunyai makanan hendaklah berkongsi dengan orang yang memerlukannya.’
12 Ada pemungut cukai datang untuk diimadkan lalu bertanya kepada Yahya, ‘Tuan Guru, apa yang harus kami buat?’
13 Yahya berkata kepada mereka, ‘Jangan suruh orang membayar lebih daripada apa yang ditetapkan.’
14 Ada askar bertanya kepadanya, ‘Bagaimanakah dengan kami? Apa yang harus kami buat?’
Yahya berkata kepada mereka, ‘Jangan aniayai orang dan jangan rampas harta benda atau ajukan tuduhan palsu. Berpuas hatilah dengan gajimu.’
15 Orang ramai menanti-nanti dengan penuh harapan dan mereka tertanya-tanya dalam hati tentang Yahya kalau-kalau dialah al-Masih itu. 16 Yahya berkata kepada mereka, ‘Aku ini mengimadkan kamu dengan air tetapi seorang yang lebih berkuasa daripadaku akan datang. Aku ini tidak layak walaupun untuk mengurai tali kasut-Nya. Dialah yang akan mengimadkan kamu dengan Roh Suci dan api. 17 Nyiru ada di dalam tangan-Nya untuk menampi bijirin dan mengumpulkannya di dalam rengkiang tetapi sekam akan dibakar-Nya dalam api yang tidak dapat dipadamkan.’ 18 Yahya menasihati orang dengan pelbagai cara serta memberitakan Injil kepada mereka.
19 Dia telah menegur Raja Herodes tentang perkahwinannya dengan Herodias, isteri saudaranya, dan tentang segala kejahatan yang dilakukannya. 20 Kemudian, Raja Herodes melakukan dosa yang lebih dahsyat dengan memenjarakan Yahya.
Pengimadan Isa
21 Ketika semua orang diimadkan, Isa pula diimadkan. Ketika Dia berdoa, langit terbuka, 22 Roh Suci bagai burung merpati turun ke atas-Nya. Kedengaran satu suara dari langit yang berkata, ‘Engkaulah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Mu Aku berkenan.’
Nenek moyang Isa
23 Isa berusia lebih kurang tiga puluh tahun pada masa Dia memulakan pelayanan-Nya. Pada sangkaan orang, Dia anak kepada Yusuf, anak Eli,
 
24 anak Matat,
anak Lewi, anak Malkhi,
anak Yanai, anak Yusuf,
25 anak Matica, anak Amush,
anak Nahum, anak Hesli,
anak Nagai, 26 anak Maat,
anak Matica, anak Simei,
anak Yosekh, anak Yoda,
27 anak Yohanan, anak Resa,
anak Zerubabel, anak Sealtiel,
anak Neri, 28 anak Malkhi,
anak Adi, anak Kosam,
anak Elmadam, anak Er,
29 anak Yesua, anak Eliezer,
anak Yorim, anak Matat,
anak Lewi, 30 anak Simeon,
anak Yuda, anak Yusuf,
anak Yonam, anak Elyakim,
31 anak Melea, anak Mina,
anak Matata, anak Natan,
anak Daud, 32 anak Isai,
anak Obed, anak Boas,
anak Salmon, anak Nahason,
33 anak Aminadab, anak Admin, anak Arni,
anak Hezron, anak Peres,
anak Yuda, 34 anak Yakub,
anak Ishak, anak Ibrahim,
anak Terah, anak Nahor,
35 anak Serug, anak Rehu,
anak Peleg, anak Eber,
anak Selah, 36 anak Kenan,
anak Arpakhsad, anak Sem,
anak Nuh, anak Lemekh,
37 anak Metuselah, anak Henokh
(juga disebut Idris),
anak Yared, anak Mahalaleel,
anak Kenan, 38 anak Enos,
anak Set, anak Adam,
anak Allah.