2 Petrus
1
1 Daripada Simon Petrus, hamba dan rasul Isa al-Masih,
Kepada mereka yang seiman dengan kami melalui kebenaran Allah Tuhan dan Penyelamat kita Isa al-Masih:
2 Semoga kamu dilimpahi berkat dan damai sejahtera daripada Allah, kerana kamu mengenal Allah dan Junjungan Isa.
Panggilan dan pilihan Allah
3 Dengan kuasa-Nya Allah telah mengurniai kita segala yang diperlukan untuk hidup dan kesalihan, melalui apa yang kita ketahui tentang Dia yang memanggil kita dengan kemuliaan dan kebaikan-Nya. 4 Allah telah menganugerahi kita janji yang besar dan berharga. Melaluinya kamu akan mengambil bahagian dalam sifat keilahian Allah setelah menjauhi kebinasaan akibat hawa nafsu di dunia.
5 Oleh itu, berusahalah untuk membekalkan imanmu dengan kebaikan; dan kebaikan dengan pengetahuan; 6 dan pengetahuan dengan penguasaan diri; dan penguasaan diri dengan ketabahan; dan ketabahan dengan kesalihan; 7 dan kesalihan dengan belas ihsan persaudaraan; dan belas ihsan persaudaraan dengan kasih. 8 Jika kamu semakin kaya dengan segala ini, tidaklah kamu sia-sia dan hampa dalam mengenal Junjungan kita Isa al-Masih. 9 Seseorang yang tidak memiliki sifat-sifat ini adalah rabun, malah buta, dan lupa bahawa dia telah disucikan daripada dosa-dosanya dahulu.
10 Oleh itu, saudara-saudaraku, berusahalah lebih keras lagi untuk memastikan kekalnya panggilan dan pilihan Allah akan dirimu. Jika kamu melakukan segala ini, kamu tidak akan tersandung. 11 Kamu akan diberi sepenuh hak untuk menikmati kerajaan kekal Junjungan dan Penyelamat kita Isa al-Masih.
Nubuat tentang Kitab Suci
12 Oleh itu, aku tidak akan lalai daripada mengingatkan kamu tentang segala ini, walaupun kamu sudah mengetahuinya dan berpegang teguh pada ajaran benar yang kamu terima. 13 Selagi ada hayatku, wajarlah aku mengingatkan kamu tentang hal-hal itu. 14 Aku tahu tidak lama lagi aku akan meninggalkan dunia ini, sebagaimana telah dinyatakan jelas kepadaku oleh Junjungan kita Isa al-Masih. 15 Aku akan mengusahakan supaya kamu tetap diingatkan tentang hal-hal itu setelah aku tiada lagi.
16 Kami tidaklah bercerita dongeng kepadamu apabila kami memberitahumu tentang kekuasaan Junjungan kita Isa al-Masih dan kedatangan-Nya. Kami telah menyaksikan kemuliaan-Nya dengan mata kami sendiri. 17 Dia telah menerima penghormatan dan kemuliaan daripada Allah Bapa. Suatu suara daripada Yang Maha Tinggi berfirman, ‘Inilah Putera-Ku yang Kukasihi dan dengan-Nya Aku berkenan.’ 18 Kami telah mendengar suara yang datang dari syurga ketika kami bersama-Nya di puncak gunung suci.
19 Dengan demikian, kata-kata nubuat yang ada pada kami menjadi lebih jelas. Terimalah kata-kata nubuat ini seperti lampu yang bersinar di tempat gelap, hingga fajar menyingsing dan bintang pagi terbit di dalam hatimu. 20 Hal terutama yang harus kamu ketahui ialah bahwa tidak ada satu nubuat pun dalam Kitab Suci yang berasal dari pentafsiran sendiri, 21 kerana nubuat bukanlah lahir dengan kehendak manusia, tetapi diungkapkan oleh orang ketika didorong oleh Roh Suci untuk menyampaikan firman daripada Allah.