21
Paulus pergi ke Baitulmaqdis
1 Setelah berpisah dengan mereka, kami belayar ke Kos, dan esoknya ke Rodos, dan dari sana ke Patara. 2 Kami mendapati ada sebuah kapal yang hendak menyeberang ke Fenesia. Kami menaikinya lalu belayar. 3 Setelah kelihatan Kiprus di sebelah kiri, kami terus belayar ke Siria lalu turun di kota Tirus kerana kapal itu hendak memunggah muatannya di situ. 4 Kami menemui para pengikut Isa lalu tinggal di kota itu selama tujuh hari. Melalui pimpinan Roh Suci mereka menggesa Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis. 5 Setelah sampai waktu yang dirancang, kami bertolak dari situ. Semua pengikut Isa bersama anak isteri menghantarkan kami sampai ke luar kota. Kami semua berlutut di pantai lalu berdoa dan bersalam-salaman. 6 Selepas itu kami naik ke kapal dan mereka pulang ke rumah masing-masing.
7 Dari Tirus kami meneruskan pelayaran ke Ptolemais. Di situ kami memberi salam kepada saudara-saudara seiman lalu tinggal dengan mereka selama sehari. 8 Esoknya kami pergi ke Kaisarea lalu masuk ke rumah Filipus, pemberita Injil yang menjadi salah seorang daripada tujuh pembantu para rasul, lalu kami tinggal dengannya. 9 Dia mempunyai empat orang anak gadis yang belum berkahwin dan mereka bernubuat.
10 Setelah kami tinggal di situ beberapa hari, seorang nabi bernama Agabus datang dari Yudea. 11 Dia mendapatkan kami lalu mengambil tali pinggang Paulus dan mengikat kaki tangannya sendiri sambil berkata, ‘Demikianlah kata Roh Suci, bahawa orang yang mempunyai tali pinggang ini akan diikat demikian di Baitulmaqdis oleh orang Yahudi dan diserahkan ke tangan orang bangsa asing.’
12 Apabila mendengar kata-kata itu, kami dan penduduk kota itu meminta Paulus supaya jangan pergi ke Baitulmaqdis. 13 Paulus menjawab, ‘Mengapa kamu menangis dan menyedihkan hatiku? Aku bersedia bukan sahaja untuk diikat, malah untuk mati di Baitulmaqdis demi Junjungan Isa.’ 14 Oleh sebab dia tidak mahu mendengar kata kami, kami pun berhenti memujuknya lalu berkata, ‘Berlakulah kehendak Tuhan.’
15 Selepas itu kami berkemas lalu pergi ke Baitulmaqdis. 16 Beberapa orang pengikut Isa dari Kaisarea menyertai kami lalu membawa kami berjumpa Menason, orang Siprus, yang sudah lama percaya akan Isa; di rumahnyalah kami menumpang.
Paulus melawat Yakobus
17 Setelah sampai di Baitulmaqdis, kami disambut oleh saudara-saudara seiman dengan sukacita. 18 Pada esoknya Paulus bersama kami masuk berjumpa dengan Yakobus; ketua-ketua yang lain pun ada di situ. 19 Setelah memberi salam kepada mereka, Paulus menceritakan segala yang telah dilakukannya secara terperinci di kalangan bangsa asing dengan kehendak Allah.
20 Apabila mendengar kisah itu mereka memuji Allah dan berkata kepada Paulus, ‘Saudara, sebagaimana kamu lihat, ada berpuluh ribu orang Yahudi yang sudah percaya akan Isa dan mereka itu berpegang teguh kepada Taurat. 21 Ada orang memberitahu mereka bahawa kamu mengajar orang Yahudi yang tinggal di kalangan orang bangsa asing supaya berpaling daripada Musa, jangan menyunatkan anak-anak dan jangan menurut adat orang Yahudi. 22 Sekarang bagaimana? Mereka tentu mendengar berita kedatanganmu ke sini. 23 Oleh itu, ikutlah seperti kata kami. Di antara kami ada empat orang yang telah bernazar. 24 Bawalah mereka bersamamu dan sucikan dirimu bersama mereka serta tanggung belanja mencukur kepala mereka. Dengan demikian semua orang akan tahu bahawa apa yang dikatakan tentangmu itu tidak benar, sebaliknya kamu mengikut Taurat. 25 Namun, tentang orang bangsa asing yang percaya akan Isa, kami telah berkirim surat memberikan hukum bahawa mereka hendaklah memeliharakan diri daripada makanan yang dipersembahkan kepada berhala, daripada darah dan binatang yang mati dicekik, dan daripada zina.’
26 Paulus pun membawa empat orang itu bersamanya dan pada esoknya dia menyucikan diri bersama mereka. Kemudian dia masuk ke rumah ibadat dan memberitahu orang di situ bilangan harinya upacara penyucian itu akan selesai dan korban akan dipersembahkan bagi setiap mereka.
Paulus ditangkap
27 Apabila hampir genap tujuh hari, beberapa orang Yahudi dari Asia terpandang Paulus di dalam rumah ibadat. Mereka menghasut orang ramai lalu menangkap Paulus 28 sambil berseru, ‘Hai orang Israel, marilah tolong kami! Inilah dia orang yang menyebarkan merata-rata ajaran yang menghina kaum kita, Taurat dan rumah ibadat. Dia juga telah membawa orang Yunani ke dalam rumah ibadat, menajiskan tempat suci ini.’ 29 Mereka berkata begitu kerana pernah melihat Trofimus orang Efesus bersama Paulus di kota itu lalu mereka menyangka bahawa Paulus telah membawanya ke dalam rumah ibadat.
30 Ini menggemparkan semua orang Yahudi di kota itu lalu mereka berlari dan berhimpun mengerumuni Paulus. Mereka menangkapnya dan menyeretnya ke luar rumah ibadat. Semua pintu rumah ibadat pun segera ditutup. 31 Ketika mereka hendak membunuhnya, ketua pasukan tentera Rom mendengar bahawa seisi kota Baitulmaqdis sedang merusuh. 32 Dia segera membawa beberapa orang ketua tentera dan askar-askar untuk mendapatkan perusuh-perusuh itu. Apabila melihat mereka datang, perusuh-perusuh itu berhenti memukul Paulus.
33 Ketua pasukan tentera itu datang menangkap Paulus, disuruhnya ikat dengan dua rantai. Dia bertanya siapakah itu dan apakah yang telah dilakukannya. 34 Di antara orang ramai itu sesetengah menjawab begini dan sesetengahnya begitu. Oleh sebab ketua pasukan tentera itu tidak dapat memastikan punca huru-hara itu, dia menyuruh orangnya membawa Paulus ke dalam kubu. 35 Setelah sampai ke tangga, askar-askar mengangkat Paulus kerana orang ramai mengganas. 36 Mereka mengikut sambil berseru-seru, ‘Hapuskan dia!’
Paulus berucap kepada orang ramai
37 Ketika Paulus hendak dibawa masuk ke dalam kubu, dia berkata kepada ketua pasukan tentera itu, ‘Bolehkah aku menyatakan sesuatu kepadamu?’
Ketua pasukan tentera itu berkata, ‘Kamu tahu bahasa Yunani? 38 Bukankah kamu ini orang Mesir yang dulu mencetuskan pemberontakan dan memimpin empat ribu orang pengganas ke gurun?’
39 Paulus berkata, ‘Aku ini orang Yahudi dari kota Tarsus di tanah Kilikia iaitu kota yang agak terkenal, dan aku meminta kamu benarkan aku bercakap kepada orang ramai itu.’
40 Setelah mendapat kebenaran daripada ketua pasukan tentera, Paulus berdiri di atas tangga dan memberikan isyarat dengan tangannya supaya mereka diam. Setelah orang ramai itu senyap, Paulus berucap dalam bahasa Ibrani,