4
Petrus dan Yahya di hadapan Majlis Agama
Sementara Petrus dan Yahya itu bercakap kepada orang ramai, para imam dan ketua pengawal rumah ibadat serta orang Saduki datang kepada mereka. Mereka sangat gelisah bahawa rasul itu mengajar orang ramai dan memberitakan kebangkitan daripada kematian melalui Isa. Mereka menangkap Petrus dan Yahya lalu memasukkan mereka ke dalam penjara sampai esok kerana hari sudah malam. Namun demikian, ramai orang yang telah mendengar apa yang diajarkan itu percaya, dan jumlah laki-laki telah bertambah kira-kira lima ribu.
Pada esoknya, para pemimpin masyarakat Yahudi, tua-tua dan guru-guru Taurat berhimpun di Baitulmaqdis, dan juga imam besar Hanas, Kayafas, Yahya, Iskandar dan seluruh keluarga imam besar. Mereka membawa Petrus dan Yahya untuk dihadapkan kepada mereka. Kemudian mereka pun bertanya, ‘Dengan kuasa apa dan dengan nama siapakah kamu telah melakukan perkara itu?’
Petrus yang dipenuhi Roh Suci berkata kepada mereka, ‘Para pemimpin masyarakat Israel! Sekiranya hari ini kami dihakimi atas perbuatan baik kepada seorang yang lumpuh, sehingga dia dipulihkan, 10 maka ketahuilah kamu sekalian dan seluruh bangsa Israel, bahawa dengan nama Isa al-Masih dari Nasaret, yang telah kamu salib dan telah dibangkitkan Allah daripada kematian, dengan nama Dialah orang ini berdiri di sini di hadapanmu dalam keadaan sihat sempurna. 11 Inilah
 
‘ “batu yang dibuang oleh kamu
sebagai pembina,
kini telah menjadi batu penjuru.”
 
12 Tiadalah penyelamatan melalui sesiapa yang lain, kerana tiada nama lain di bawah langit ini diberikan di kalangan manusia, yang dapat menyelamatkan kita.’
13 Apabila mereka melihat keberanian Petrus dan Yahya sedangkan kedua-duanya ternyata orang yang tidak berpelajaran serta tidak terlatih, mereka pun hairan. Mereka sedar bahawa kedua-duanya telah bersama dengan Isa. 14 Apabila mereka melihat orang yang sudah disembuhkan itu berdiri di sisi kedua-duanya, mereka tidaklah dapat menyangkal lagi. 15 Tetapi setelah mereka menyuruh kedua-duanya keluar dari majlis itu, mereka pun bermesyuarat sesama sendiri, 16 ‘Apakah yang akan kita lakukan kepada mereka itu? Sesungguhnya sudah nyata kepada semua orang Baitulmaqdis bahawa satu mukjizat yang mengagumkan telah dilakukan melalui mereka, dan kita tidak dapat menafikannya. 17 Tetapi supaya berita ini tidak tersebar lebih luas di kalangan bangsa kita, eloklah kita melarang mereka berkata-kata lagi kepada sesiapapun dengan menggunakan nama itu.’
18 Dengan demikian mereka pun memanggil kedua-duanya itu dan mengeluarkan perintah jangan sekali-kali bercakap atau mengajar dengan nama Isa. 19 Tetapi Petrus dan Yahya menjawab, ‘Wajarkah pada pandangan Allah jika kami mendengar katamu lebih daripada mendengar kata Allah? Timbangkanlah, 20 kerana kami mesti bercakap tentang segala yang telah kami lihat dan dengar itu.’
21 Setelah membuat beberapa ugutan lagi, mereka melepaskan kedua-dua rasul itu kerana tidak tahu bagaimana hendak menghukum mereka, memandangkan seluruh masyarakat memuji Allah atas apa yang telah dilakukan itu; 22 padahal orang yang disembuhkan melalui mukjizat itu sudah berumur lebih daripada empat puluh tahun.
Doa orang beriman
23 Setelah dilepaskan, Petrus dan Yahya segera pergi mendapatkan rakan-rakannya lalu menceritakan segala yang dikatakan oleh imam-imam besar dan para pemimpin masyarakat itu kepada mereka. 24 Apabila mendengar segalanya, mereka semua berseru dengan satu hati, ‘Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang menjadikan langit dan bumi serta laut dengan segala isinya, 25 yang melalui lidah hamba-Mu Daud telah berfirman:
 
‘ “Mengapa bangsa-bangsa asing naik
berang dan kaum-kaum berkomplot dengan sia-sia?
26 Raja-raja bumi ini menegakkan pendirian,
dan para pemimpin bermuafakat
untuk melawan Tuhan
dan melawan Dia yang diurapi-Nya.”
 
27 Sesungguhnya Herodes dan Pontius Pilatus, bersama orang asing dan bangsa Israel telah berhimpun dalam negeri ini melawan Hamba Suci-Mu Isa yang telah Kauurapi, 28 untuk melakukan segala yang sudah ditentukan oleh kuasa dan tujuan-Mu. 29 Ya Tuhan, lihatlah ugutan mereka dan kurniakanlah kepada hamba-hamba-Mu ini, sepenuh keberanian untuk menyampaikan firman-Mu. 30 Hulurkan tangan-Mu untuk menyembuhkan, dan melakukan tanda-tanda ajaib serta mukjizat dengan nama Hamba Suci-Mu Isa.’
31 Setelah mereka berdoa, tempat mereka berhimpun itu bergoncang. Mereka semua dipenuhi dengan Roh Suci dan mengucap firman Allah dengan berani.
Orang beriman berkongsi segalanya
32 Semua orang yang sudah percaya itu sehati sejiwa. Tiada seorang pun yang mengatakan sesuatu itu miliknya; mereka berkongsi segalanya. 33 Dengan kuasa yang hebat rasul-rasul itu bersaksi tentang kebangkitan Junjungan Isa. Kasih kurnia besar melimpahi mereka sekalian. 34 Tiada seorang pun di antara mereka yang kekurangan; kerana semua yang memiliki harta atau rumah telah menjualnya, membawa wang jualan itu 35 dan meletakkannya di kaki para rasul; lalu dibahagikanlah di antara mereka menurut keperluan masing-masing.
36 Yusuf yang digelar para rasul Barnabas (yang diterjemahkan sebagai Anak Pendorong), orang Lewi dari Kuprus, 37 ada mempunyai tanah. Dia menjualnya lalu membawa wang jualan itu, dan meletakkannya di kaki para rasul.