13
Kemudian aku berdiri di atas pasir di tepi laut. Aku melihat seekor binatang keluar dari dalam laut, bertanduk sepuluh berkepala tujuh. Di setiap tanduk terletak mahkota dan di setiap kepala tertulis nama kufur. Binatang itu kelihatan seperti harimau bintang tetapi kakinya seperti kaki beruang dan mulutnya seperti mulut singa. Naga itu memberi binatang itu kuasa dan takhtanya serta kekuasaan yang besar. Di salah satu kepala binatang itu terdapat seolah-olah pernah luka parah yang membawa maut tetapi telah sembuh. Seluruh penghuni dunia mengagumi dan mengikut binatang itu. Mereka menyembah naga yang telah memberikan kekuasaannya kepada binatang itu, dan mereka menyembah binatang itu sambil berkata, ‘Siapakah yang setanding dengan binatang ini? Siapakah yang dapat memeranginya?’
Binatang itu diberi mulut untuk melafazkan hal-hal besar dan kufur, serta diberi kekuasaan melakukannya selama empat puluh dua bulan. Ia pun membuka mulutnya lalu mengkufuri Allah, nama Allah, tempat Allah bersemayam dan semua penghuni syurga.
Binatang itu dibenarkan memerangi dan menewaskan orang salih, serta diberi kekuasaan ke atas semua suku, kaum, bahasa dan bangsa. Binatang itu akan disembah oleh semua di bumi yang sejak dunia dicipta namanya tidak tersenarai di dalam Kitab Hidup milik Anak Domba yang telah disembelih.
Sesiapa yang bertelinga, dengarlah.
10 Orang yang harus ditawan
pasti akan ditawan kelak.
Orang yang harus dibunuh dengan
pedang pasti akan dibunuh
dengan pedang juga.
Oleh itu orang salih harus tabah dan beriman.
Binatang yang keluar dari dalam bumi
11 Kemudian aku melihat seekor lagi binatang buas muncul dari bumi, bertanduk dua seperti anak domba dan bertutur seperti naga. 12 Binatang kedua itu menjalankan segala kekuasaan binatang pertama di hadapannya, dan menyuruh bumi serta semua penghuninya menyembah binatang yang telah sembuh daripada luka parah yang membawa maut itu. 13 Binatang kedua itu mengadakan beberapa alamat yang hebat, termasuk menurunkan api dari langit ke atas bumi di hadapan umat manusia. 14 Dengan alamat-alamat yang dapat diadakannya di hadapan binatang pertama itu, binatang kedua memperdaya sekalian penghuni bumi, dan menyuruh mereka membuat patung binatang yang dilukai pedang tetapi lukanya itu pulih. 15 Binatang kedua itu diberi kuasa untuk meniupkan nyawa ke dalam patung binatang pertama itu, supaya patung itu dapat berkata-kata dan menyebabkan semua yang enggan menyembahnya dibunuh. 16 Ia memaksa semua manusia, kecil besar, kaya miskin, orang merdeka dan hamba abdi, menerima suatu tanda pada tangan kanannya atau dahinya, 17 dan seorang pun tidak dibenarkan berjual beli kecuali ada padanya tanda atau nama binatang buas itu, atau angka namanya.
18 Di sini terletak kebijaksanaan. Sesiapa yang mengerti, kirakanlah angka binatang itu, kerana angka itu angka seorang manusia, dan angka itu 666.