8
Penganiayaan terhadap jemaah di Baitulmaqdis
Saul menyetujui kematian Stefanus. Pada masa itu penganiayaan yang dahsyat dilakukan terhadap jemaah di Baitulmaqdis; dan mereka pun bercerai-berai di serata Yudea dan Samaria, kecuali para rasul. Beberapa orang yang salih mengebumikan Stefanus dan amat meratapi kematiannya. Saul berusaha untuk menghapuskan jemaah; dia memasuki setiap rumah dan menyeret keluar lelaki perempuan lalu memasukkan mereka ke dalam penjara.
Filipus di Samaria
Mereka yang bercerai-berai pergi merata-rata mengajarkan firman Allah. Kemudian Filipus pergi ke sebuah kota di Samaria dan memberitakan al-Masih kepada orang di situ. Apabila orang ramai mendengar apa yang dikatakan Filipus dan melihat segala keajaiban yang dilakukannya, mereka semua memperhatikan dengan sepenuh hati apa yang dikatakannya; kerana roh-roh durjana keluar sambil melolong daripada ramai orang yang kerasukan, manakala sebilangan besar yang lumpuh dan tempang telah disembuhkan. Seluruh kota itu amat bersukacita.
Simon ahli sihir
Akan tetapi ada seorang lelaki bernama Simon, yang dahulunya mengamalkan sihir di situ dan mengagumkan orang Samaria serta mengaku dirinya seorang yang hebat. 10 Mereka semua, daripada yang paling rendah tarafnya hinggalah kepada yang tertinggi, mendengar katanya. Mereka berkata, ‘Orang ini dikenal sebagai Kuasa Besar Allah.’ 11 Mereka mendengar katanya kerana dia telah lama mengagumkan mereka dengan sihirnya. 12 Namun apabila mereka mempercayai Filipus ketika dia bercakap tentang hal-hal berkaitan dengan kerajaan Allah dan nama Isa al-Masih, mereka pun diimadkan, baik lelaki mahupun perempuan. 13 Kemudian Simon sendiri percaya; dan setelah diimadkan dia terus menyertai Filipus dan amat kagum melihat keajaiban serta alamat yang dilakukan.
14 Apabila para rasul di Baitulmaqdis mendengar bahawa orang Samaria telah menerima firman Allah, mereka mengutus Petrus dan Yahya ke sana. 15 Setelah sampai di situ, kedua-duanya berdoa semoga mereka menerima Roh Suci, 16 kerana mereka belum lagi dipenuhi oleh-Nya. Mereka baru diimadkan sahaja dengan nama Junjungan Isa. 17 Kemudian Petrus dan Yahya meletakkan tangan atas mereka lalu mereka menerima Roh Suci.
18 Setelah Simon melihat betapa Roh Suci diberi ketika para rasul meletakkan tangan, dia menawarkan wang kepada mereka 19 sambil berkata, ‘Berilah aku kuasa itu juga, supaya sesiapa yang kuletakkan tangan atasnya akan menerima Roh Suci.’
20 Tetapi Petrus berkata kepadanya, ‘Punahlah wangmu bersamamu, kerana kamu menyangka kurnia Allah dapat dibeli dengan wang! 21 Kamu tidak ada bahagian dalam pekerjaan kami, kerana hatimu tidak ikhlas di sisi Allah. 22 Oleh itu bertaubatlah daripada kejahatanmu itu, dan berdoalah kepada Tuhan semoga kamu dapat diampuni kerana niat di hatimu itu; 23 kerana kulihat kamu diracuni perasaan kepahitan dan dibelenggu dosa.’
24 Simon menjawab, ‘Berdoalah kepada Tuhan untukku, supaya apa yang kamu sebutkan tadi tidak menimpaku.’
25 Setelah mereka memberi kesaksian dan menyampaikan firman Tuhan, mereka pun pulang ke Baitulmaqdis, sambil menyebarkan perkhabaran baik tentang Isa di banyak kampung orang Samaria.
Filipus dan sida-sida dari negeri Habsyah
26 Malaikat Tuhan berkata kepada Filipus, ‘Bangkit dan pergilah ke arah selatan di jalan antara Baitulmaqdis dengan Gaza. Sekarang tempat itu lengang.’ 27 Dia pun bangkit lalu pergi. Ada seorang Habsyi, seorang sida-sida yang besar pangkatnya di bawah perintah Kandake, ratu negeri Habsyah, dan ditugaskan menjaga seluruh perbendaharaannya. Dia telah pergi ke Baitulmaqdis untuk sembahyang. 28 Ketika dia sedang dalam perjalanan pulang dan sambil duduk di dalam kereta kudanya, dia membaca kitab Nabi Yasyaya. 29 Roh Suci berkata kepada Filipus, ‘Pergi dekati kereta kuda itu.’
30 Filipus pun berlari mendapatkannya lalu mendengarnya membaca kitab Nabi Yasyaya. Filipus berkata, ‘Fahamkah apa yang kamu baca itu?’
31 Jawabnya, ‘Bagaimana aku dapat memahaminya, kecuali ada orang yang membimbingku?’ Dia pun mengajak Filipus naik duduk di sisinya.
32 Bahagian Kitab Suci yang dibacanya ialah:
 
‘Dia dibawa seperti domba untuk disembelih
seperti anak domba yang senyap ketika bulunya digunting.
Demikianlah Dia tidak membuka mulut.
33 Dia dihina dan keadilan direntap daripada-Nya,
maka siapa akan mengisahkan keturunan-Nya?
Nyawa-Nya direnggut dari muka bumi.’
 
34 Sida-sida itu berkata, ‘Aku bertanya kepadamu, tentang siapakah nabi itu bercakap, tentang dirinya atau seseorang lain?’ 35 Filipus pun membuka mulutnya: bermula dari bahagian Kitab Suci itu, dia mengajar berita baik tentang Isa kepada sida-sida itu.
36 Sedang mereka meneruskan perjalanan, mereka sampai ke suatu tempat yang berair. Sida-sida itu berkata, ‘Lihat, di sini ada air. Apa yang menghalang aku daripada diimadkan?’ 37 Filipus berkata, ‘Jika kamu percaya sepenuh hati, kamu boleh diimadkan.’ Sida-sida itu menjawab, ‘Aku percaya bahawa Isa al-Masih itu Putera Allah.’ 38 Lalu dia mengarahkan kereta kuda itu dihentikan. Dia bersama Filipus turun ke dalam air, lalu Filipus mengimadkannya. 39 Setelah mereka keluar dari air, Roh Suci mengambil Filipus dari situ. Sida-sida itu tidak melihatnya lagi, lalu meneruskan perjalanan dengan sukacita. 40 Filipus mendapati dirinya di Asdod. Dia meneruskan perjalanan sambil mengkhabarkan Injil di segala kota hingga sampai di Kaisarea.