13
Tunduk kepada pemerintah
1 Setiap orang harus tunduk kepada pihak berkuasa, kerana tidak ada kekuasaan yang tidak datang daripada Allah, dan pihak berkuasa yang ada telah ditetapkan oleh Allah. 2 Oleh itu sesiapa yang menentang pihak berkuasa menentang peraturan Allah, dan sesiapa yang menentang membawa hukuman ke atas dirinya. 3 Pemerintah tidak menakutkan orang yang berbuat baik, hanya mereka yang berbuat jahat. Inginkah kamu bebas daripada rasa takut terhadap pemerintah? Lakukan kebajikan, pasti kamu akan dipujinya. 4 Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk membawa kebaikan kepadamu. Tetapi jika kamu melakukan kejahatan, wajarlah kamu takut, kerana pedang yang dibawanya tentu sekali untuk digunakan. Pemerintah adalah hamba yang diamanahkan oleh Allah untuk menjalankan pembalasan dengan menimpakan kemurkaan Allah ke atas orang yang berbuat jahat. 5 Oleh itu tunduklah, bukan hanya kerana takut dimurkai Allah tetapi juga kerana menurut hati nuranimu sendiri.
6 Dengan sebab itu jugalah kamu harus membayar cukai. Pemerintah adalah pegawai-pegawai yang ditugaskan oleh Allah untuk mengendalikan hal itu. 7 Oleh itu bayarlah apa yang wajar dibayar kepada setiap pihak: Sekiranya cukai, bayarlah cukai; sekiranya hasil, bayarlah hasil. Dan takutilah orang yang patut ditakuti, dan hormatilah orang yang patut dihormati.
Kasih-mengasihi
8 Jangan merasa terhutang apa-apa kepada sesiapapun kecuali kasih-mengasihi, kerana seseorang yang mengasihi sesama manusia telah memenuhi hukum; 9 kerana perintah-perintah, ‘Jangan berzina’, ‘Jangan membunuh’, ‘Jangan mencuri’, ‘Jangan bersaksi bohong’, ‘Jangan ingini milik orang lain’ dan perintah-perintah yang lain adalah terangkum dalam perintah ini, ‘Kasihilah sesama manusia sebagaimana kamu mengasihi dirimu sendiri’. 10 Kasih tidak berbuat jahat kepada sesama manusia. Oleh itu kasih memenuhi hukum.
11 Kamu tahu bahawa sudah sampai waktunya kamu bangun dari tidur, kerana kini penyelamatan lebih dekat lagi kepada kita daripada dahulu, ketika kita baru beriman. 12 Malam sudah hampir berlalu, dan siang hampir tiba. Oleh itu lucutkanlah segala kerja kegelapan dan kenakan kelengkapan senjata cahaya. 13 Ikutlah tingkah laku yang wajar, sebagaimana orang berjalan pada siang hari. Jangan berpesta liar dan mabuk, jauhi noda dan kelucahan, singkirkan pergaduhan dan iri hati. 14 Kenakan Junjungan Isa al-Masih sebagai kelengkapan senjata dan jangan hidup secara duniawi untuk memuaskan hawa nafsu.