9
Pilihan Allah yang utama
Aku berkata benar dalam al-Masih. Aku tidak berdusta, hati nuraniku mengesahkannya dalam Roh Suci. Aku teramat sedih dan gundah dalam hatiku. Kerana aku rela terkutuk dan terpisah daripada al-Masih untuk kepentingan saudara-saudara sebangsaku. Mereka itu orang Israel. Untuk mereka pengangkatan sebagai anak Allah; untuk mereka kemuliaan ilahi; perjanjian-perjanjian; penerimaan hukum, ibadat di rumah ibadat, dan janji-janji. Mereka adalah keturunan nenek moyang yang termasyhur. Bahkan dari antara mereka jugalah al-Masih lahir sebagai manusia. Dialah yang terutama dari segala sesuatu. Terpujilah Allah selama-lamanya. Amin.
Ini tidaklah bererti Firman Allah telah gagal. Kerana bukan semua keturunan Israel itu diterima sebagai Israel. Juga bukan semua keturunan Ibrahim diterima sebagai anak-anak Ibrahim. Sebaliknya, ‘Melalui Ishak anak-anakmu akan diperhitungkan.’ Ini bererti, anak-anak Allah bukanlah keturunan tabii Ibrahim tetapi anak-anak janji Allah. Kerana demikianlah kata-kata janji itu: ‘Pada masa yang ditetapkan Aku akan kembali, dan Sarah akan mendapat seorang anak lelaki.’
10 Bukan itu sahaja, malah kedua-dua anak lelaki Ribkah mempunyai bapa yang sama, iaitu Ishak, bapa kita. 11 Namun, sebelum anak kembar itu dilahirkan dan sempat berbuat baik atau jahat – untuk menegakkan kehendak Allah dalam pemilihan: 12 bukan dengan kerja amal tetapi dengan Dia yang memanggil – Ribkah telah diberitahu: ‘Yang tua akan melayan yang muda.’ 13 Sebagaimana tersurat di dalam kitab suci: ‘Yakub Kukasihi, tetapi Esau Kubenci.’
14 Jadi, apa yang akan kita katakan? Adakah Allah tidak adil? Sama sekali tidak!
15 Kerana Dia telah berkata kepada Musa,
 
‘Aku akan kasihani sesiapa yang Kukasihani.
Dan Aku akan berbelas kasihan kepada
sesiapa yang Kubelaskasihi.’
 
16 Oleh itu hal demikian bergantung bukan kepada keinginan atau usaha manusia tetapi kepada belas kasihan Allah. 17 Kerana kitab suci berkata kepada Firaun: Aku telah mengangkatmu untuk tujuan ini, iaitu menunjukkan kekuasaan-Ku melaluimu dan supaya nama-Ku termasyhur di seluruh bumi. 18 Dengan demikian Allah mengasihani sesiapa yang hendak dikasihani-Nya, dan mengeraskan hati sesiapa yang hendak dikeraskan-Nya hati.
19 Seorang daripadamu akan berkata kepadaku, ‘Kalau begitu, mengapa masih menyalahkan kita? Kerana siapa yang dapat menentang kehendak-Nya?’ 20 Tetapi siapakah engkau, hai manusia, maka engkau menghujahi Allah? ‘Adakah ciptaan berkata kepada penciptanya, “Mengapa kaubuat aku begini?” ’ 21 Tidakkah tukang tembikar berhak membuat daripada segumpal tanah liat yang sama, beberapa bekas tembikar untuk tujuan mulia dan yang lain untuk kegunaan biasa?
22 Bagaimana jika Allah, untuk menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya, setelah begitu bersabar terhadap orang yang dimurkai-Nya, membuat persediaan untuk membinasakan? 23 Bagaimana jika Dia berbuat demikian untuk memperlihatkan betapa besar kemuliaan-Nya kepada orang yang dikasihi-Nya, yang telah disediakan-Nya terlebih dahulu untuk kemuliaan, 24 justeru kita, yang telah dipanggil-Nya, bukan hanya dari kalangan orang Yahudi tetapi juga dari kalangan bangsa asing? 25 Sebagaimana telah disampaikan-Nya melalui Hosea:
 
‘Aku akan memanggil mereka “umat-Ku”
sedangkan mereka bukan umat-Ku;
dan Aku akan memanggil dia “orang yang Kukasihi”
sedangkan dia bukan orang
yang Kukasihi.’
 
26 dan,
 
‘akan terjadi bahawa di mana
telah dikatakan kepada mereka,
‘Kamu bukan umat-Ku,’
di situlah mereka akan dipanggil
‘anak-anak Allah yang hidup.” ’
 
27 Yasyaya juga telah berseru tentang umat Israel:
 
‘Walaupun bilangan anak Israel
seperti pasir di tepi laut,
hanya segelintir baki akan diselamatkan.
28 Kerana Tuhan akan menjalankan
hukumannya di atas bumi dengan segera
dan muktamad.’
 
29 Samalah seperti kata Yasyaya sebelum itu:
 
‘Sekiranya Tuhan Maha Kuasa
tidak membiarkan keturunan kita hidup,
kita tentu telah menjadi seperti Sodom,
tentu kita seperti Gomora.’
 
Israel yang tidak beriman
30 Jadi, apa yang akan kita katakan? Bahawa bangsa-bangsa asing, yang tidak mengejar kebenaran, telah mendapatinya, iaitu kebenaran berasaskan iman. 31 Sebaliknya orang Israel, yang mengejar kebenaran berasaskan hukum kebenaran, tidak dapat mencapainya. 32 Mengapa tidak? Kerana mereka mengejarnya bukan dengan iman, tetapi seolah-olah dengan mengamalkan kerja amal. Mereka tersandung pada batu sandungan.
33 Sebagaimana telah tersurat:
 
‘Aku telah meletakkan di Sion seketul batu
yang menyebabkan orang tersandung
dan sebuah batu pejal yang membuat mereka terjatuh,
dan orang yang percaya kepada-Nya
tidak akan diaibkan.’