18
Kejatuhan Babel
Selepas segala ini, aku melihat satu lagi malaikat turun dari syurga, dengan kekuasaan besar, dan bumi diterangi oleh kemuliaannya. Dia berseru dengan suara yang lantang dan hebat,
 
‘Babel yang agung telah runtuh, telah runtuh,
dan telah menjadi tempat kediaman
roh-roh durjana,
penjara bagi setiap roh durjana,
sangkar bagi setiap burung yang jijik
dan dibenci!
Semua bangsa telah minum air anggur
hawa nafsunya yang cabul.
Raja-raja dunia telah berzina dengannya,
dan saudagar-saudagar dunia telah
menjadi kaya-raya
dari kemewahannya yang
melimpah-limpah.’
 
Aku mendengar satu suara lagi dari syurga berkata,
 
‘Keluarlah daripadanya, hai kaumku,
supaya kamu tidak bersubahat
dengan dosanya
dan tidak ditimpa wabaknya.
Segala dosanya telah sampai ke syurga
dan Allah ingat akan kejahatannya.
Perlakukan dia sebagaimana dia telah memperlakukanmu,
dan balas perbuatannya dua kali ganda.
Dalam cawan yang telah dibancuhnya,
bancuh dua kali ganda.
Sebagaimana dia telah memuliakan dirinya dan hidup mewah,
sebanyak itulah diberikan dia kesengsaraan dan kesedihan;
kerana dalam hatinya dia berkata,
“Aku bersemayam sebagai ratu,
aku bukan balu,
dan tidak akan mengalami kesedihan.”
Oleh itu pelbagai bencana akan menimpanya dalam satu hari sahaja,
kematian dan ratapan serta kebuluran.
Dia akan hangus dibakar dengan api,
kerana Allah Tuhan yang menghakiminya amat perkasa.
 
‘Raja-raja dunia yang berzina dan hidup mewah dengannya akan menangis dan meratapinya apabila mereka melihat asap api yang membakarnya. 10 Sambil berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, mereka berkata,
 
‘ “Aduhai, sengsaranya,
kota Babel yang agung!
Dalam sejam sahaja hukuman telah menimpamu.”
 
11 ‘Saudagar-saudagar dunia akan menangis dan meratapinya, kerana tiada siapa membeli dagangan mereka lagi – 12 dagangan emas, perak, permata dan mutiara, kain khasah, kain ungu, kain sutera dan kain kesumba, setiap jenis kayu yang harum baunya, segala bekas daripada gading, kayu indah, tembaga, besi dan batu marmar, 13 juga kayu manis, rempah-ratus, setanggi, minyak wangi, dupa, air anggur, minyak zaitun, tepung halus, gandum, dan lembu, domba, kuda, kenderaan abdi, serta manusia.
14 ‘Mereka akan berkata, “Buah-buahan yang diidami oleh hati jiwamu telah lenyap dari matamu, dan segala benda yang mewah serta hebat telah terlepas dari tanganmu, dan kamu tidak akan mendapatkannya lagi.” 15 Saudagar-saudagar yang menjual segala dagangan itu, yang telah menjadi kaya-raya kerananya, akan berdiri jauh kerana takut akan kesengsaraannya, sambil menangis dan meratap. 16 Mereka akan berkata,
 
‘ “Aduhai, sengsaranya,
kota yang agung itu,
yang memakai kain khasah,
kain ungu dan kain kesumba,
serta dihiasi emas permata dan mutiara!
17 Dalam sejam sahaja segala kemewahan itu lenyap sama sekali.”
 
‘Setiap nakhoda, pelayar, kelasi dan saudagar di laut, berdiri jauh. 18 Mereka menangis melihat asap api yang membakarnya, sambil berkata, “Kota manakah yang setanding dengan kota agung ini?” 19 Mereka meletakkan debu ke atas kepala mereka sambil berseru dengan ratap tangisnya,
 
‘ “Aduhai, sengsaranya, kota yang
agung itu,
yang kekayaannya telah memperkaya setiap penduduknya
yang memiliki kapal di laut!
Dalam sejam sahaja ia telah kehilangan
segala-galanya.
20 Bergembiralah melihat keadaannya,
wahai syurga dan sekalian orang salih,
para rasul serta nabi yang suci,
kerana Allah telah menghukumnya
kerana perbuatannya terhadapmu!” ’
 
21 Kemudian malaikat yang gagah perkasa mengangkat batu yang besarnya seperti batu kisar rupanya lalu melontarkannya ke dalam laut sambil berkata,
 
‘Demikianlah, dengan dahsyatnya,
kota Babel yang agung akan dilenyapkan,
dan tidak akan ditemui lagi.
22 Bunyi orang bermain kecapi,
suling, serunai dan pelbagai alat muzik
tidak akan kedengaran lagi di dalammu.
Ahli-ahli seni pertukangan tidak akan
terdapat lagi di dalammu.
Bunyi batu kisar tidak akan didengar lagi
di dalammu.
23 Cahaya lampu tidak akan bersinar lagi di dalammu.
Suara pasangan pengantin tidak akan kedengaran lagi
di dalammu.
Saudagar-saudagarmu dahulu orang besar-besar di dunia,
kerana dengan kuasa sihirmu semua bangsa telah terpedaya.
24 Di dalamnya telah didapati darah
para nabi dan orang salih,
serta semua yang telah dibunuh
di bumi ini.’