7
144,000 dimateraikan
Selepas itu, kulihat empat malaikat berdiri di empat penjuru bumi dan menahan keempat-empat angin di bumi supaya tidak ada angin yang bertiup di darat, di laut, atau di pohon-pohon. Kemudian kulihat malaikat lain datang dari timur membawa materai yang digunakan oleh Allah yang hidup. Dengan suara lantang malaikat itu berseru kepada empat malaikat yang telah diberi kuasa untuk merosakkan darat dan laut. Malaikat itu berkata, ‘Janganlah rosakkan darat, laut atau pohon-pohon hingga kami telah mematerai dahi hamba-hamba Allah Tuhan kita.’ Lalu aku mendengar bahawa seratus empat puluh empat ribu dari semua suku Israel dimateraikan.
 
Dari suku Yahuda dua belas ribu,
dari suku Ruben dua belas ribu,
dari suku Gad dua belas ribu,
dari suku Asyer dua belas ribu
dari suku Naftali dua belas ribu,
dari suku Manasye dua belas ribu,
dari suku Simeon dua belas ribu,
dari suku Lewi dua belas ribu,
dari suku Isakhar dua belas ribu,
dari suku Zabulon dua belas ribu,
dari suku Yusuf dua belas ribu,
dari suku Benyamin dua belas ribu.
Orang ramai berjubah putih
Selepas itu aku melihat lagi. Kulihat lautan manusia, tidak terkira banyaknya, dari segala bangsa, suku, kaum, dan bahasa, berjubah putih dan memegang daun palma. Mereka semua berdiri di hadapan takhta dan Anak Domba. 10 Mereka berseru dengan lantang,
 
‘Penyelamatan ada pada Allah Tuhan kami
yang bersemayam di atas takhta dan pada
Anak Domba!’
 
11 Semua malaikat berdiri mengelilingi takhta, empat makhluk dan para tua-tua, lalu semuanya sujud di hadapan takhta menyembah Allah. 12 Mereka berkata,
 
‘Amin!
Segala pujian, kemuliaan,
kebijaksanaan, kesyukuran, kehormatan,
kuasa dan kebesaran
bagi Allah Tuhan kami selama-lamanya!
Amin.’
 
13 Salah seorang tua-tua itu bertanya kepadaku, ‘Siapakah yang berjubah putih itu dan dari manakah mereka itu?’
14 ‘Aku tidak tahu, tetapi tuan tahu,’ sahutku. Dia berkata, ‘Merekalah orang yang berjaya menempuh kesengsaraan yang dahsyat. Mereka telah membasuh jubah mereka menjadi putih bersih dengan darah Anak Domba. 15 Maka sekarang,
 
‘mereka berdiri di hadapan takhta Allah
dan menyembah-Nya siang malam
di dalam rumah ibadat-Nya.
Dia yang bersemayam di atas takhta
akan membentangkan khemah-Nya di atas mereka.
16 Mereka tidak akan lapar atau dahaga lagi.
Terik matahari atau sesuatu yang amat
panas pun tidak akan dapat
membakar mereka lagi
17 kerana Anak Domba di tengah-tengah takhta itu akan menjadi
gembala mereka.
Dia akan membimbing mereka ke mata air
yang membawa hidup,
dan Allah akan menghapuskan setiap
titik air mata mereka.’