3
Kemudian Isa kembali ke saumaah. Di situ ada seorang yang lumpuh sebelah tangannya. Ada beberapa orang yang ingin mencari alasan untuk membuat tuduhan terhadap Isa. Mereka memerhatikan dengan teliti sama ada Dia akan menyembuhkan orang itu pada hari Sabat. Isa berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Berdiri, marilah ke depan.’
Kemudian Dia menyoal orang di situ, ‘Manakah yang boleh kita lakukan pada hari Sabat: berbuat baik atau jahat? Menyelamatkan atau membinasakan orang?’ Tetapi semuanya berdiam diri.
Isa memandang orang di sekeliling-Nya dengan rasa marah dan amat dukacita dengan mereka yang begitu keras kepala. Lalu Dia berkata kepada orang yang lumpuh sebelah tangannya itu, ‘Hulurkan tanganmu.’ Orang itu pun menghulurkan tangannya yang lumpuh, tangan itu terus sembuh. Orang Farisi keluar dari situ lalu segera berpakat dengan beberapa anggota golongan Herodes untuk membunuh Isa.
Orang ramai mengikut Isa
Isa beredar ke laut bersama pengikut-pengikut-Nya. Ramai orang Galilea datang kepada-Nya. Ada yang dari Yudea, Baitulmaqdis, Idumea, seberang Sungai Yordan, dan sekitar Tirus dan Sidon. Mereka datang berduyun-duyun kerana mendengar segala yang telah dilakukan-Nya. Begitu ramainya orang sehingga Isa menyuruh pengikut-Nya menyediakan perahu untuk-Nya supaya Dia tidak terhimpit. 10 Ramai orang telah disembuhkan-Nya. Oleh itu, orang sakit berebut-rebut hendak menyentuh-Nya. 11 Apabila orang yang dirasuk roh-roh durjana melihat-Nya, mereka sujud di hadapan-Nya lalu berseru, ‘Engkau Putera Allah.’ 12 Isa melarang keras mereka mengatakan siapa Dia.
Isa memanggil dua belas rasul
13 Kemudian Isa naik ke bukit. Dia memanggil semua orang yang dikehendaki-Nya lalu mereka datang kepada-Nya. 14 Isa memilih dua belas orang antara pengikut-Nya itu untuk menyertai-Nya dan untuk diutus-Nya memberitakan Injil 15 serta dikurniai kuasa untuk menghalau roh-roh iblis. 16 Dua belas orang yang dipilih-Nya itu ialah: Simon (yang juga dipanggil-Nya Petrus); 17 Yakobus dan saudaranya Yahya iaitu anak-anak Zebedeus (dua orang adik-beradik ini digelar-Nya Boanerges, yang bermakna Anak Petir); 18 Andreas, Filipus, Bartolomeus, Matius, Tomas, Yakobus anak Alfeus, Tadeus, Simon orang Patriot 19 dan juga Yudas Iskariot yang kelak mengkhianati-Nya.
Isa dan Beelzebul
20 Selepas itu Isa masuk ke sebuah rumah, tetapi begitu ramainya orang yang datang berkumpul semula sehingga Isa dan pengikut-pengikut-Nya tidak sempat makan. 21 Apabila keluarga Isa mendengar perkara ini, mereka juga datang untuk mengambil-Nya apabila mendengar orang berkata, ‘Dia tidak siuman.’
22 Sebilangan guru Taurat dari Baitulmaqdis berkata, ‘Dia dirasuk Beelzebul! Dengan kuasa penghulu roh iblis Dia menghalau roh-roh iblis.’
23 Oleh itu Isa memanggil semua orang itu lalu bercakap melalui beberapa ibarat: ‘Bagaimana Iblis dapat menghalau Iblis? 24 Kalau satu kerajaan berpecah belah, kerajaan itu tidak dapat bertahan. 25 Dan jika keluarga berpecah belah, keluarga itu akan hancur. 26 Dan jika Iblis berontak melawan dirinya sendiri dan berpecah belah, dia tidak dapat bertahan; sudah sampailah saat kemusnahannya. 27 Tiada siapa dapat memasuki rumah seorang yang gagah dan merampas hartanya, kecuali orang gagah itu dapat diikatnya dahulu. 28 Ingatlah: Segala dosa dan kata kufur manusia dapat diampunkan. 29 Tetapi sesiapa yang mengkufuri Roh Suci tidak akan diampunkan; dia bersalah kerana berbuat dosa kekal.’
30 Isa berkata demikian kerana ada orang berkata, ‘Dia dirasuk roh durjana.’
Isa dan saudara-saudara-Nya
31 Apabila ibu dan saudara-saudara Isa tiba, mereka menanti di luar dan menyuruh orang memanggil-Nya. 32 Pada waktu itu, orang ramai duduk di sekeliling Isa berkata kepada-Nya, ‘Lihatlah! Ibu dan saudara-saudara-Mu ada di luar. Mereka memanggil Engkau.’
33 Isa menjawab, ‘Siapakah ibu-Ku? Siapakah saudara-saudara-Ku?’
34 Dia memandang semua orang yang duduk di sekeliling-Nya lalu berkata, ‘Lihat, inilah ibu dan saudara-saudara-Ku! 35 Sesiapa yang melakukan kehendak Allah, dialah saudara lelaki, saudara perempuan, dan ibu-Ku.’