2
Amaran supaya berwaspada
Oleh itu kita harus memberikan perhatian yang lebih kepada segala yang telah kita dengar; takut kita hanyut kelak. Jika firman yang disampaikan melalui para malaikat terbukti benar, dan setiap pelanggaran serta keingkaran mendapat balasan yang setimpal, bagaimana kita mungkin terlepas daripadanya jika kita mengabaikan penyelamatan yang sedemikian besar? Pada mulanya Junjungan telah menyebutkannya, dan kemudian orang yang telah mendengar kata-kata-Nya itu turut mengesahkannya. Allah juga telah memberikan kesaksian dengan pelbagai tanda, keajaiban, mukjizat dan pengurniaan Roh Suci, menurut kehendak-Nya sendiri.
 
Dia tidak meletakkan dunia akan datang, yang kita perkatakan ini, di bawah takluk para malaikat. Tetapi terdapat seorang yang telah memberikan kesaksian di suatu tempat:
 
‘Apakah manusia maka Engkau
memberinya perhatian,
Apakah putera insan maka Engkau
memeliharanya?
Engkau telah menjadikannya rendah
sedikit daripada malaikat;
Engkau memahkotakannya dengan
kemuliaan dan kehormatan,
dan Engkau meletakkan segala-galanya
tertakluk di bawah kakinya.’
 
Dengan meletakkan segalanya tertakluk di bawahnya, Allah tidak meninggalkan suatu apapun di luar kekuasaannya. Tetapi sekarang kita masih belum melihat segala-galanya diletakkan di bawahnya.
Isa dijadikan rendah seketika
Tetapi kita melihat Isa, yang dijadikan rendah sedikit daripada malaikat, dimahkotakan dengan kemuliaan dan kehormatan kerana telah menderita kematian; supaya Dia, dengan kasih kurnia Allah, mengalami kematian untuk setiap manusia.
10 Allah, yang segala-galanya adalah untuk-Nya dan segala-galanya dicipta oleh-Nya, membawa beberapa ramai anak-Nya kepada kemuliaan. Memang wajarlah Dia menjadikan Perintis penyelamatan mereka itu sempurna melalui penderitaan. 11 Dia yang menyucikan dan mereka yang disucikan adalah satu asalnya. Oleh itu Dia tidak malu memanggil mereka saudara-saudara. 12 Dia berkata:
 
‘Aku akan mengisytiharkan nama-Mu
kepada saudara-saudaraku;
Di tengah-tengah perhimpunan
Aku akan menyanyikan pujian
untuk-Mu.’
 
13 Dan juga:
 
‘Aku akan meletakkan kepercayaan-Ku kepada-Nya.’
 
Seterusnya:
 
‘Lihatlah, ini Aku dan anak-anak yang telah diberikan Allah kepada-Ku.’
 
14 Oleh sebab anak-anak itu telah mendapat tubuh manusia, Dia sendiri pun mendapatkannya, supaya melalui kematian Dia dapat memusnahkan Iblis yang berkuasa ke atas kematian, 15 dan membebaskan mereka yang tertakluk kepada belenggunya seumur hidup kerana takut mati. 16 Dia tidak memberi pertolongan kepada para malaikat, tetapi Dia memberi pertolongan kepada keturunan Ibrahim. 17 Dengan demikian, dalam segala hal Dia harus disamakan dengan saudara-saudaranya, supaya Dia menjadi Imam Besar yang pengasihan dan setia dalam segala yang berkenaan dengan Allah, untuk menebus dosa umat manusia. 18 Oleh sebab Dia Sendiri telah menderita, menghadapi godaan, maka Dia dapat menolong orang yang menghadapi godaan.