25
Penghakiman Paulus di hadapan Festus
Tiga hari selepas Festus menjadi pemerintah negeri itu, dia berangkat dari Kaisarea ke Baitulmaqdis. Ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh Paulus di hadapan Festus. Mereka memohon jasa baik Festus menghantar Paulus ke Baitulmaqdis kerana mereka telah berpakat hendak membunuhnya di pertengahan jalan. Akan tetapi Festus menjawab bahawa Paulus terpenjara di Kaisarea dan dia sendiri pun hendak segera ke sana. Dia berkata, ‘Oleh itu hendaklah orang yang berkuasa di antara kamu berangkat ke sana bersamaku dan mendakwa orang itu, jika dia telah melakukannya.’
Setelah tinggal di Baitulmaqdis kira-kira lapan atau sepuluh hari lagi, Festus pun berangkat ke Kaisarea. Pada esoknya dia duduk sebagai hakim di mahkamah lalu menyuruh orang membawa Paulus menghadapnya. Setelah Paulus masuk, semua orang Yahudi yang datang dari Baitulmaqdis itu berdiri mengelilinginya serta menuduhnya atas beberapa kesalahan yang berat, yang tidak dapat dibuktikan oleh mereka.
Kemudian Paulus membela dirinya sendiri dan berkata ‘Satu pun tiada kesalahanku, terhadap hukum orang Yahudi, atau terhadap rumah ibadat, atau terhadap Kaisar.’
Akan tetapi Festus hendak mengambil hati orang Yahudi lalu bertanya kepada Paulus, ‘Mahukah kamu pergi ke Baitulmaqdis supaya aku mengadili perkaramu ini di sana?’
10 Paulus menjawab, ‘Aku sekarang berdiri di mahkamah Kaisar, dan di sinilah aku patut dibicarakan. Aku tidak pernah melakukan sesuatu yang buruk terhadap orang Yahudi, sebagaimana kamu terlebih maklum. 11 Kalaulah aku bersalah, atau telah melakukan sesuatu yang patut aku dibunuh, aku tidaklah enggan mati; tetapi jika segala tuduhan mereka ke atas aku itu tidak benar, tiada seorang pun yang boleh menyerahkanku kepada mereka. Aku hendak mengadu kepada Kaisar.’
12 Setelah berbincang dengan semua penasihatnya, Festus menjawab, ‘Kamu hendak mengadu kepada Kaisar; pergilah menghadap Kaisar!’
Festus berbincang dengan Raja Agripa
13 Beberapa hari kemudian, Raja Agripa berangkat bersama Bernike ke Kaisarea untuk meraikan kedatangan Festus. 14 Dalam beberapa hari raja itu tinggal di sana, Festus menceritakan hal Paulus kepadanya, ‘Di sini ada seorang yang ditinggalkan oleh Feliks di dalam penjara. 15 Ketika aku di Baitulmaqdis, ketua-ketua imam dan para pemimpin masyarakat Yahudi menuduh orang itu dan meminta supaya dia dihukum.
16 ‘Tetapi aku menjawab bahawa menurut adat orang Rom, seseorang itu tidak boleh diserahkan sebelum berhadapan dengan pendakwanya dan diberi peluang membela diri. 17 Apabila mereka datang ke sini, esoknya tanpa berlengah-lengah aku duduk sebagai hakim dan mengarahkan supaya orang itu dibawa masuk ke mahkamah. 18 Para pendakwanya mengemukakan tuduhan tetapi tiada satu pun merupakan perbuatan jahat sebagaimana aku jangkakan. 19 Semua tuduhan itu berlegar sekitar perselisihan tentang agama, tentang seorang bernama Isa yang sudah mati dan dikatakan hidup semula oleh Paulus. 20 Aku pun tidak tahu bagaimana hendak mengadili hal itu, lalu bertanya kalau dia mahu ke Baitulmaqdis supaya dibicarakan di sana. 21 Tetapi Paulus meminta tangguh, hendak mengadukan halnya supaya dibicarakan di hadapan yang maha mulia Kaisar; lalu aku menyuruh dia dipenjarakan hingga aku menghantarnya kepada Kaisar.’
22 Agripa berkata, ‘Aku pun ingin mendengar orang itu.’
Festus menjawab, ‘Esok dapatlah kamu mendengarnya.’
Paulus di hadapan Agripa
23 Pada esoknya Agripa dan Bernike berangkat dengan selengkap kebesarannya, masuk ke dalam balai mahkamah bersama para panglima dan orang yang terkemuka di kota itu. Dengan perintah Festus, Paulus dibawa masuk. 24 Festus berkata, ‘Tuanku Raja Agripa dan sidang hadirin. Orang ini didakwa oleh semua orang Yahudi, baik yang di Baitulmaqdis mahupun yang di sini. Mereka berteriak-teriak bahawa dia tidak patut dibiarkan hidup lagi. 25 Tetapi pada pandangan aku, dia tidak melakukan apa-apa kesalahan yang patut dijatuhkan hukuman mati. Oleh sebab dia sendiri hendak mengadukan halnya kepada yang maha mulia Kaisar, aku telah memutuskan akan menghantarnya kepada Kaisar. 26 Namun, tiada suatu pun yang pasti untuk aku tuliskan tentangnya kepada Kaisar. Itulah sebabnya aku membawanya menghadapmu, dan terutamanya Raja Agripa. Setelah dia disoal nanti, bolehlah didapati sesuatu untuk aku tuliskan. 27 Pada pandanganku, tidaklah wajar menghantarkan seseorang untuk diadili tanpa menyatakan tuduhan ke atasnya dengan jelas.’