15
Persidangan di Baitulmaqdis
Kemudian, beberapa orang datang dari Yudea dan mengajar pengikut Isa di Antiokhia, ‘Jika kamu tidak disunat menurut adat Musa, kamu tidak akan mendapat penyelamatan.’ Ini menyebabkan Paulus dan Barnabas banyak berbahas dan berbantah dengan orang dari Yudea itu. Akhirnya diputuskan bahawa Paulus dan Barnabas serta beberapa orang lain pergi ke Baitulmaqdis berjumpa dengan para rasul dan tua-tua untuk bertanyakan persoalan tersebut. Jemaah menghantar mereka sampai ke luar kota. Semasa mereka meneruskan perjalanan melalui Fenisia dan Samaria, mereka memberitahu bagaimana orang bangsa asing telah percaya kepada Isa. Pengikut-pengikut Isa di situ amat sukacita mendengarnya. Setelah sampai ke Baitulmaqdis, jemaah dan para rasul serta tua-tua menyambut mereka. Mereka pun menceritakan segala perkara yang telah dilakukan Allah melalui mereka.
Akan tetapi beberapa orang daripada mazhab Farisi yang telah mempercayai Isa bangkit lalu berkata, ‘Orang bangsa asing itu haruslah disunat dan wajib menurut Taurat Musa.’
Para rasul dan tua-tua berkumpul untuk menyelidik serta membincangkan perkara itu. Setelah perkara itu banyak dibincangkan, Petrus berdiri lalu berkata, ‘Saudara-saudara semuanya tahu bahawa Allah telah memilihku sejak dahulu kala dari kalangan kita semua untuk menyampaikan firman-Nya tentang berita baik kepada bangsa asing, lalu mereka percaya. Allah yang mengetahui hati manusia telah bersaksi akan mereka itu dan memberi mereka Roh Suci sebagaimana diberi-Nya kepada kita. Allah tidak membezakan mereka dengan kita sedikit pun. Dia menyucikan hati mereka kerana iman mereka. 10 Sekarang ini mengapa saudara-saudara menduga Allah dengan meletakkan ke atas mereka suatu beban yang tidak dapat ditanggung oleh nenek moyang kita, malah oleh kita ini juga? 11 Kami percaya hanya dengan kasih kurnia Junjungan Isa dapat kita berharap untuk diselamatkan, samalah seperti orang bangsa asing itu.’
12 Orang ramai pun diam lalu mendengar Barnabas dan Paulus menceritakan segala alamat dan mukjizat yang dilakukan Allah di kalangan bangsa asing melalui mereka berdua. 13 Setelah mereka habis bercerita, Yakobus pula berkata, ‘Saudara-saudara, dengarlah. 14 Simon telah menceritakan bagaimana Allah pada mulanya menunjukkan kasih-Nya kepada orang bangsa asing dan memilih dari kalangan mereka suatu kaum untuk menjadi umat-Nya. 15 Hal ini selaras dengan nubuat nabi-nabi yang tersurat:
 
16 ‘ “Setelah itu Aku akan kembali
dan membina semula khemah Daud yang roboh;
dan segala keruntuhannya akan Kubangunkan,
lalu Kutegakkan semula,
17 supaya semua bangsa yang lain akan mencari Tuhan,
bangsa asing yang Kupanggil menjadi umat-Ku.”
18 Demikianlah firman Tuhan yang telah melakukan semua ini
dan yang telah menyatakannya sejak dahulu kala.
 
19 ‘Oleh itu pada fikiranku janganlah kita menyusahkan orang bangsa asing yang telah mempercayai Allah; 20 tetapi hendaklah kita berkirim surat kepada mereka dan menasihati mereka supaya menjauhkan diri daripada memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, binatang yang mati dicekik, dan darah; dan daripada melakukan zina. 21 Sejak dahulu kala dalam setiap negara ada orang yang menyebarkan berita tentang Musa dan membaca Tauratnya di saumaah-saumaah pada hari Sabat.’
Surat kepada jemaah bukan Yahudi
22 Selepas itu, para rasul dan tua-tua serta seluruh jemaah bersetuju memilih beberapa orang di antara mereka untuk ke Antiokhia bersama Paulus dan Barnabas. Orang yang dipilih itu ialah Yudas yang bergelar Barsabas, dan juga Silas, yang mengetuai saudara-saudara itu. 23 Mereka diamanahkan membawa sepucuk surat yang berbunyi:
 
‘Salam daripada para rasul, tua-tua jemaah dan saudara-saudaramu kepada saudara-saudara bukan Yahudi yang tinggal di Antiokhia, Siria dan Kilikia.
 
24 Kami telah mendengar khabar bahawa ada beberapa orang daripada bangsa kami telah mengganggu saudara-saudara dengan kata-kata yang bukan daripada kami. 25 Oleh itu kami bermuafakat hendak memilih orang untuk pergi bertemu dengan saudara-saudara bersama Barnabas dan Paulus yang kami kasihi, 26 iaitu orang yang telah mempertaruhkan nyawa kerana nama Junjungan kita Isa al-Masih. 27 Kami telah memilih Yudas dan Silas untuk pergi menyampaikan kepada saudara-saudara 28 pesan daripada Roh Suci dan daripada kami: iaitu janganlah diletakkan ke atas saudara-saudara beban yang lebih berat daripada yang perlu. 29 Cuma, jauhkanlah diri daripada memakan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala, binatang yang mati dicekik, dan darah; dan daripada melakukan zina. Jika saudara-saudara memeliharakan diri daripada segala ini, saudara-saudara melakukan hal yang betul.
 
Sekian, selamat sejahtera.’
 
30 Mereka yang diutus itu bertolak ke Antiokhia. Di sana mereka menghimpunkan jemaah dan menyampaikan surat. 31 Apabila jemaah membaca surat itu, mereka bersukacita kerana surat itu memberi perangsang kepada mereka. 32 Yudas dan Silas itu kedua-duanya nabi. Mereka menasihati dan menetapkan hati saudara-saudara seiman di situ. 33 Setelah Yudas dan Silas tinggal di situ, jemaah melepaskan mereka untuk pulang dengan sejahtera kepada orang yang mengutus mereka. 34 Akan tetapi Silas memutuskan untuk tetap tinggal di Antiokhia. 35 Paulus dan Barnabas tinggal di situ beberapa lama sambil mengajar dan menyampaikan firman Tuhan bersama ramai orang lain.
Paulus dan Barnabas berpisah
36 Kemudian, Paulus berkata kepada Barnabas, ‘Sekarang baiklah kita melawat semula saudara-saudara yang percaya kepada Isa di semua kota yang telah kita sampaikan firman Tuhan, untuk melihat bagaimana hal mereka.’ 37 Barnabas hendak membawa Yahya yang juga bergelar Markus 38 tetapi Paulus tidak bersetuju kerana Markus telah meninggalkan mereka di Pamfilia dan tidak ikut serta menjalankan tugas. 39 Oleh itu timbul perselisihan sengit dan mereka berpisah: Barnabas membawa Markus belayar ke Siprus 40 manakala Paulus memilih Silas sebagai teman seperjalanannya. Setelah jemaah menyerahkan mereka kepada kasih kurnia Tuhan, mereka pun berangkat. 41 Mereka menjelajahi Siria dan Kilikia sambil menetapkan hati jemaah di situ.