12
Petrus dipenjarakan
1 Pada masa itu Raja Herodes pula turut menganiaya beberapa orang daripada jemaah. 2 Yakobus saudara Yahya dibunuhnya dengan pedang. 3 Apabila dilihatnya orang Yahudi sukacita dengan tindakannya, dia menangkap Petrus pula, pada Perayaan Roti Tidak Beragi. 4 Dia memasukkan Petrus ke dalam penjara dan menyerahkannya kepada enam belas orang askar yang bertugas menjaganya bergilir-gilir, empat orang segiliran. Niatnya hendak membawa Petrus ke hadapan orang Yahudi selepas perayaan Paska.
5 Sementara itu Petrus dikawal rapi di dalam penjara; tetapi jemaah berdoa dengan sungguh-sungguh kepada Allah untuknya.
6 Pada malam sebelum hari perbicaraan yang ditetapkan oleh Herodes itu, Petrus tidur antara dua orang askar, terikat dengan dua rantai; di samping itu para pengawal berjaga di hadapan pintu penjara itu. 7 Tiba-tiba malaikat Tuhan terdiri di situ dan cahaya menyinari bilik itu. Malaikat itu menepuk Petrus dan membangunkannya lalu berkata, ‘Cepat bangun.’ Dalam sekelip mata gugurlah rantai dari tangan Petrus.
8 Malaikat itu berkata lagi, ‘Ikatlah tali pinggang dan pakailah kasutmu.’ Setelah Petrus berbuat demikian, malaikat itu berkata lagi, ‘Pakailah jubahmu dan ikutlah aku.’ 9 Petrus mengikut malaikat itu keluar dari penjara tanpa mengetahui sama ada segalanya itu benar-benar terjadi atau hanya suatu penglihatan. 10 Mereka melalui tempat pengawal berjaga yang pertama dan yang kedua. Akhirnya mereka sampai di pintu besi yang menghala ke kota lalu pintu itu terbuka dengan sendirinya dan mereka pun keluar. Ketika mereka berjalan di suatu lorong, malaikat itu pun tiba-tiba meninggalkan Petrus.
11 Pada saat itu barulah Petrus sedar apa yang telah terjadi. Dia berkata, ‘Sekarang tahulah aku bahawa segalanya benar-benar berlaku. Tuhan telah mengutus malaikat-Nya untuk menyelamatkan aku daripada Raja Herodes dan segala yang hendak dilakukan oleh orang Yahudi kepadaku.’
12 Setelah itu, Petrus pergi ke rumah Maryam, ibu kepada Yahya yang bergelar Markus. Di situ ramai orang berhimpun dan sedang berdoa. 13 Apabila Petrus mengetuk pintu, seorang perempuan bernama Rode datang ke pintu. 14 Dia mengenali suara Petrus. Akan tetapi dia begitu sukacita hinggakan terus masuk semula tanpa membukakan pintu. Dia memberitahu bahawa Petrus ada di luar.
15 ‘Kamu gila!’ seru mereka, namun Rode beria-ia mengatakan orang yang di luar itu Petrus. Mereka berkata, ‘Tentu itu rohnya!’ 16 Petrus mengetuk pintu lagi berulang-ulang. Akhirnya mereka membukakan pintu dan tercengang apabila melihat Petrus. 17 Petrus memberikan isyarat meminta mereka bertenang lalu mengisahkan betapa Tuhan telah mengeluarkannya dari penjara. Selepas itu Petrus berkata, ‘Khabarkanlah hal ini kepada Yakobus dan saudara-saudara lain.’ Kemudian dia pun pergi ke tempat lain.
18 Setelah hari siang, askar-askar yang berkawal itu gempar, tertanya-tanya apakah yang telah terjadi kepada Petrus. 19 Raja Herodes menyuruh orang mencari Petrus tetapi tidak berjaya. Lantas Raja Herodes mengeluarkan perintah supaya askar-askar yang berkawal itu disoal siasat dan kemudiannya dihukum bunuh.
Kematian Raja Herodes
Selepas itu Raja Herodes berpindah dari Yudea ke Kaisarea lalu tinggal di sana. 20 Raja Herodes amat murka terhadap orang Tirus dan Sidon. Oleh yang demikian, mereka datang bersama-sama untuk menghadap Raja Herodes. Pertama sekali mereka mendapatkan sokongan Blastus, ketua istana Raja Herodes. Selepas itu mereka menghadap Raja Herodes dan meminta berdamai, kerana bekalan makanan negeri mereka bergantung kepada negeri Raja Herodes.
21 Pada hari yang telah ditetapkan, Raja Herodes mengenakan pakaian kebesaran diraja, duduk di atas singgahsana lalu berkata kepada rakyat. 22 Mereka berseru, ‘Itu suara seorang dewa, bukan manusia.’ 23 Pada saat itu malaikat Tuhan memukul Raja Herodes kerana tidak menghormati Allah. Raja Herodes pun mati dimakan ulat.
24 Firman Allah semakin luas tersebar dan kian ramai orang percaya kepada Isa.
25 Setelah Barnabas dan Saul menjalankan tugas mereka pulang dari Baitulmaqdis dan membawa Yahya yang bergelar Markus itu bersama mereka.